14 NOV : Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam usaha untuk membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang, sistematik dan cekap bagi meningkatkan kesaling hubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke 12 (RMKe-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, projek tersebut akan memastikan pembangunan sosioekonomi dapat dilaksana dengan lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh Keluarga Malaysia di negeri ini.
Kata Ismail Sabri, secara keseluruhannya, projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 km.
“Kerajaan Persekutuan berharap supaya projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini dapat mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya yang telah dilaksanakan di Semenanjung
“Ini kerana transformasi pembangunan luar bandar dan lonjakan potensi pertumbuhan ekonomi dan sosial dapat dizahirkan melalui rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi dan seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika program Pembukaan Jalan Seksyen Selangau di tapak jejambat Selangau di Sibu hari ini.
Sementara itu, kata Ismail Sabri lagi, projek Jajaran Selangau sepanjang 27km yang melibatkan kos pembinaan RM588 juta, merupakan antara jajaran dalam Pakej Kerja yang termasuk kerja-kerja naik taraf jalan raya sedia ada daripada Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 67km yang mula dibina sejak November 2016
“Skop pembinaan jajaran ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan yang sedia ada, pembinaan tujuh buah jambatan, 19 buah hentian bas dan sebuah persimpangan bertingkat. Kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya pada 14 November 2022.
“Projek ini juga membuka peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk terlibat sama sebagai perunding, pembekal atau kontraktor, dalam memacu ekonomi tempatan dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi selain menyumbang kepada pembangunan Negeri Sarawak.
“Projek yang dirancang rapi dan bersifat holistic antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, juga bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf sebagai sebuah negeri maju,” katanya.