15 NOV : Semua pengundi awal dipesan agar membuat pilihan tepat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memilih kerajaan yang dapat membawa kestabilan, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tempoh mentadbir negara selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) katanya, menjadi bukti kegagalan pihak pembangkang dalam mentadbir negara.
Katanya lagi, apa yang jelas PH gagal melaksanakan apa yang dijanjikan di dalam manifesto mereka sebelum PRU ketika mereka memegang tampuk pemerintahan negara.
“Pesanan saya bahawa pengundi awal perlu membuat pilihan tepat dalam memilih calon Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Saya harap mereka tidak tersilap dalam memilih, pilihlah parti yang boleh membawa kestabilan.
“Cukuplah sekali dulu kita dah cuba dan ramai rakyat merasakan bahawa kalau ada parti baharu, mungkin boleh bawa perubahan, tetapi ternyata lebih buruk dan akhirnya memusnahkan segala yang kita rancang,” katanya kepada pemberita di Kuala Selangor malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada program Santai Anak Muda Kuala Selangor di Puncak Alam, dekat sini yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata anak muda di Kuala Selangor perlu membantu BN memenangi kerusi Parlimen itu bagi memastikan segala perkara yang dirancang dalam Bajet 2023 dapat direalisasikan terutamanya inisiatif untuk golongan berkenaan.
“Kita umum macam-macam untuk anak muda…termasuk bantuan e-dompet, bukan RM30 tapi RM200,” katanya.
Beliau berkata, manifesto BN di Kuala Selangor juga menjanjikan penyediaan hab belia untuk golongan itu melakukan aktiviti sihat, selain memastikan kawasan berkenaan mendapat liputan rangkaian 4G dan 5G.