15 NOV : Suspek letupan maut di bandar terbesar Turkiye, Istanbul, membuat pengakuan kepada pihak polis bahawa dia melakukan serangan bom itu.
Suspek, Ahlam Albashir, warga Syria mengaku menerima arahan serangan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan sayapnya di Syria, Unit Perlindungan Rakyat (YPG), kata Jabatan Polis Istanbul menerusi satu kenyataan.
Ankara menyenaraikan kedua-dua PKK/YPG sebagai pertubuhan pengganas.
Albashir berkata dia dilatih sebagai pegawai perisik khas oleh pertubuhan pengganas dan memasuki Türkiye secara haram melalui Afrin, Syria, untuk melakukan serangan itu, menurut polis.
Pada Ahad, satu letupan menggegarkan kawasan sibuk Istiklal Avenue di sebelah Eropah Istanbul, pada 4.20 petang waktu tempatan (1320 GMT), menyebabkan enam orang maut dan 81 cedera.
Bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu adalah trinitrotoluene TNT, salah satu bahan letupan berkuasa tinggi, kata polis dalam satu kenyataan berasingan.
Agensi kerajaan Anadolu berkata 46 suspek, termasuk penyerang, ditahan dalam operasi polis yang dijalankan di 21 alamat di Istanbul.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu, melawat tempat kejadian dua kali dan meninggalkan bunga teluki (carnation) untuk memperingati mereka yang kehilangan nyawa.