16 NOV : Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim hari ini, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan kematian mendiang menerusi satu kenyataan hari ini.
“Dengan rasa penuh hiba dan dukacita, saya memaklumkan saudara M Karupaiya, mantan Ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon PH bagi Parlimen Padang Serai meninggal dunia hari ini.
“Kali terakhir kami bertemu adalah pada 14 November lalu atas pentas ceramah di Kulim.
“Mendiang memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi PH,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Pada PRU15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS).
Pada PRU14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, menang dengan majoriti 8,813 undi.
Saifuddin berkata, jasa mendiang kepada penduduk Padang Serai dan kepada warga ATM terutama veteran akan sentiasa dikenang.
“Mewakili seluruh keluarga besar PKR dan PH, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.
“Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan.
“Mendiang meninggal dunia dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan pejuang PKR dan PH pada PRU15,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh yang mengesahkan Karupaiya meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang tadi.
Difahamkan, mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim pada Isnin lalu, dan keadaannya dilaporkan tidak berapa baik sejak itu.