16 NOV : Industri automotif tempatan meneruskan momentum jualan positif apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) bulanan kekal melebihi 60,000 unit yang dicapai sejak Ogos lalu pada Oktober.
Meskipun prestasi jualan pada Oktober sedikit menurun kepada 61,002 unit, pencapaian itu masih kukuh menuju ke sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 630,000 unit.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, industri automotif tempatan merekodkan TIV berjumlah 577,902 unit, hanya 52,098 unit untuk mencapai sasaran MAA.
Jumlah jualan 10 bulan 2022 juga 50 peratus jauh lebih tinggi berbanding 383,589 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Bagi Oktober 2022, sejumlah 61,002 unit kenderaan dijual dengan pecahan 54,498 unit untuk kenderaan penumpang dan baki 6,504 unit lagi adalah kenderaan komersial.
Perbandingan bulan ke bulan, jualan Oktober adalah 10 peratus lebih rendah berbanding September iaitu 67,659 unit dan 64,762 unit jika dibandingkan dengan pencapaian Oktober 2021.
Menurut MAA, prestasi jualan pada Oktober 2022 disokong tempahan tertunggak yang dimiliki pengeluar kereta, meskipun kadarnya lebih perlahan.
“MAA menjangkakan prestasi jualan November kekal sebagaimana tahap Oktober dengan kekurangan cip dan komponen terus menjejaskan segmen pengeluaran jenama tertentu walaupun pada skala lebih kecil,” katanya.
Dari aspek pengeluaran bagi bulan dikaji pula, kenderaan penumpang mencatatkan 54,601 unit, manakala kenderaan komersial 4,390 unit, sekali gus menyaksikan angka keseluruhannya berjumlah 58,991 unit, lebih rendah berbanding 65,410 unit yang dicatatkan pada Oktober 2021.
Jumlah pengeluaran bagi tempoh 10 bulan 2022 pula adalah 567,752 unit, jauh lebih tinggi berbanding 369,406 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Penganalisis Maybank Investment Bank, Liaw Thong Jung sebelum ini berkata, industri automotif tempatan berkemungkinan mencipta rekod jualan baharu tahun ini dengan jangkaan TIV mencecah 700,000 unit.
Berdasarkan angka jualan Januari hingga Oktober, TIV untuk mencapai sasaran 700,000 unit, masih kurang 122,098 unit menuju ke dua bulan terakhir 2022 atau 61,049 unit jika dibahagikan untuk pecahan November dan Disember.
Unjuran 700,000 unit TIV menjelang akhir tahun seperti tidak mustahil dicapai memandangkan kebanyakan pengeluar masih memiliki tempahan tertunggak yang besar, manakala Disember pula menjadi bulan paling sibuk dengan pelbagai kempen serta promosi akhir tahun yang dilaksanakan semua jenama kereta.-BH