16 NOV : Parlimen Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai, M Karupaiya yang meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini berkata, Parlimen Malaysia amat menghargai khidmat bakti dan jasa mendiang kepada masyarakat serta negara sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
“Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga Parlimen Malaysia ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
“Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar serta tabah menghadapi dugaan kehilangan insan mereka sayangi. Semoga roh mendiang disemadikan dengan penuh ketenangan,” katanya dalam kenyataan itu.
Karupaiya, 69, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulim pada jam 2.27 petang tadi. Difahamkan, mendiang dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu dan keadaannya dilaporkan tidak berapa baik sejak itu.
Mendiang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai, mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), berdepan pertembungan enam penjuru.
Karupaiya yang juga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1 memenangi kerusi Parlimen itu buat kali pertama pada PRU14, dengan majoriti 8,813 undi.
Susulan kematiannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas, Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh penting urusan PRU15 bagi Parlimen Padang Serai.