16 NOV : Penduduk di selatan China, Guangzhou bertempur dengan polis ketika protes awam terhadap langkah kawalan COVID-19 selepas sekatan di kawasan itu dilanjutkan berikutan peningkatan jangkitan.
Video tersebar di media sosial menunjukkan beratus-ratus penduduk mengadakan tunjuk perasaan di jalanan di metropolis perindustrian Guangzhou.
Beberapa penduduk dilaporkan cuba merobohkan penghadang yang bertujuan untuk menghalang penduduk yang terkurung daripada meninggalkan kediaman mereka.
Beberapa orang dilihat cuba memukul pegawai yang memakai sut hazmat.
“Tiada ujian lagi,” jerit penunjuk perasaan, dengan beberapa orang membaling serpihan botol ke arah polis.
Satu lagi video menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan dengan berenang merentasi laluan air yang memisahkan daerah terjejas Haizhu dari kawasan kejiranan.
Pihak berkuasa Guangzhou, mengumumkan perintah berkurung pertama lewat Oktober lalu di puluhan kejiranan.
Isnin lalu, ia diperluaskan merangkumi hampir dua pertiga daerah dan dilanjutkan lagi sehingga malam ini.
Pihak berkuasa kesihatan melancarkan kempen ujian wajib di sembilan daerah minggu lalu, ketika purata kes harian baharu meningkat melebihi 1,000.
Daerah yang mempunyai lebih 1.8 juta penduduk itu dikatakan menjadi punca sebahagian besar kes COVID-19 di Guangzhou.
Guangzhou, sebuah bandar dengan hampir 19 juta penduduk semalam melaporkan 158 kes COVID-19 jangkitan tempatan bergejala dan 6,138 tanpa gejala berbanding 147 kes bergejala dan 4,977 tanpa gejala sehari sebelumnya.
Hab pengeluaran utama, Zhengzhou melaporkan 200 kes baharu coronavirus bergejala dan 1,650 kes tanpa gejala, berbanding 148 kes bergejala dan 2,102 kes tanpa gejala sehari sebelumnya.
Bandar Chongqing pula melaporkan 126 kes baharu coronavirus bergejala dan 2,688 kes tanpa gejala, berbanding 157 kes bergejala dan 2,794 kes tanpa gejala sehari sebelumnya.
China adalah satu-satunya negara yang masih berpegang kepada dasar Sifat COVID-19 yang tegar bagi menghapuskan wabak, namun ia memberi tekanan tinggi terhadap ekonomi susulan pelaksanaan perintah berkurung yang ketat.
Walaupun tunjuk perasaan jarang berlaku di China, ini bukan bantahan pertama menentang sekatan COVID-19 kerana penduduk hab teknologi di selatan China, Shenzhen, turut memprotes selepas pihak berkuasa mengumumkan perintah berkurung.
Awal tahun ini, Shanghai yang mempunyai 25 juta penduduk, dikenakan perintah berkurung ketat selama dua bulan sehingga menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kematian akibat kekurangan akses perubatan.