16 NOV : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak akan menjadi Perdana Menteri, sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini, demikian tegas Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Rembau berkata, UMNO sudah membuat keputusan bahawa calon Perdana Menteri ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya lagi, pelantikan Perdana Menteri terletak kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Jangan diragukan lagi (tentang pemilihan Perdana Menteri jika BN menang) tapi terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kita hanya boleh mencadangkan saja.
“Seperti di Johor, kita mencadangkan nama Datuk Seri Hasni Mohammad kekal sebagai Menteri Besar, tetapi Sultan Johor mahukan orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kundur dekat sini, malam tadi.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, berkata Pakatan Harapan (PH) dilihat secara berterusan memainkan isu berkenaan kerana mereka tiada modal lain untuk mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, mereka suka memomokkan rakyat yang BN akan melepaskan pemimpin tertentu daripada pendakwaan sekiranya BN menjadi kerajaan.
“Semasa 60 tahun BN mentadbir negara, berapa banyak pemimpin kita yang masuk penjara? Begitu juga ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pun kita tidak campur tangan kes Datuk Seri Najib (Razak).
“Tapi sebaik saja PH memerintah negara, mereka lantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan kerja pertama dilakukan ialah melepaskan Lim Guan Eng walaupun kes beliau ketika itu sedang didakwa.
“Ada juga pemimpin mereka yang dikenakan hukuman penjara 18 bulan tetapi ditukar kepada berkelakuan baik 20 bulan,” katanya.
Mohamad menyifatkan, rakyat sudah membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi pada PRU15 ini, walaupun masih tinggal dua hari lagi tempoh berkempen.
“Rakyat sudah meluat dengan keadaan yang berlaku pada negara selepas PRU14,” katanya.