17 NOV : Chile semalam merekodkan kematian pertama akibat cacar monyet membabitkan seorang lelaki tua yang mempunyai masalah kesihatan lain, kata Kementerian Kesihatan.
Kementerian itu, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa pesakit berkenaan disahkan menghidap cacar monyet pada 29 September lalu dan keadaannya terus bertambah buruk kerana sistem imuniti badan lemah.
Pada 24 Jun lalu, negara Amerika Selatan itu mengeluarkan amaran kesihatan bagi memperketatkan pemantauan dan kawalan penyakit terbabit, selepas mengesan kes pertama pada 17 Jun lalu.
Selain itu, Chile memulakan vaksinasi bagi cacar monyet pada 4 Oktoner lalu, menjadi negara Amerika Latin yang pertama berbuat demikian.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 79,000 kes cacar monyet didaftarkan termasuk 50 kematian setakat kelmarin.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika pula, sejumlah 30 kematian dicatatkan di rantau itu termasuk 12 di Brazil, 11 di Amerika Syarikat (AS), empat di Mexico, dua di Ecuador dan satu di Cuba.
Dalam pada itu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS semalam meluluskan kaedah ujian pengesanan cacar monyet dibangunkan gergasi farmaseutikal Sweden, Roche.
FDA, dalam satu kenyataan, ujian yang sudah diberi lampu hijau itu akan mempercepatkan pengesanan dan rawatan cacar monyet.
Roche, yang juga antara syarikat pertama membangunkan kit ujian coronavirus, turut mendahului pembangunan kit ujian bagi cacar monyet.
Syarikat itu, dalam satu kenyataan, berkata dua genom virus berkenaan yang paling kurang berkemungkinan bermutasi disasarkan, sekali gus membolehkan ujian yang dibangunkannya mengesan virus walaupun sudah bermutasi.
Ujian itu boleh membantu mangsa mengelakkan keperluan ujian tambahan atau pengasingan, sebaliknya membolehkan mereka mendapatkan rawatan segera jika perlu.
Cacar monyet mula menular di luar negara Afrika Barat sejak enam bulan lalu di mana ia menjadi penyakit endemik, dengan hubungan seks sesama lelaki menjadi punca utama penyakit terbabit.
walaupun kes cacar monyet mula memuncak sejak Julai lalu, kadar jangkitan semakin berkurangan terutama di Eropah dan Amerika Utara, yang menjadi kawasan paling teruk terjejas di dunia.