17 NOV : Dapatan Pusat Penyelidikan UCSI yang melakukan tinjauan pendapat orang ramai baru-baru ini memperlihatkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperolehi peratusan paling tinggi sebagai Perdana Menteri pilihan termasuk pilihan utama orang Melayu untuk jawatan itu.
Dalam satu kenyataan kepada media, dapatan kajian itu juga menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjadi pilihan orang Cina untuk jawatan Perdana Menteri dan menjadi pilihan kedua secara keseluruhan untuk jawatan itu selepas Ismail Sabri.
Pengerusi Barisan Nasionql (BN) , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi pilihan ketiga responden sebagai Perdana Menteri, diikuti oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN)Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, BN mempunyai kadar sokongan yang lebih tinggi dalam kalangan responden dan gabungan itu juga mendapat sokongan dalam kalangan.pengundi kali pertama.
Tinjauan yang dijalankan antara 8 dan 14 November dengan 1,765 responden memperlihatkan kadar sokongan keseluruhan kepada BN ialah 38.53%, diikuti PH (31.05%), PN (13.88%) dan GTA(0.96%) dan sebanyak 15.58% daripada responden tidak menjawab soalan ini.
Daripada 1,765 responden dalam kajian ini, 73% telah menyatakan bahawa mereka akan keluar mengundi Sabtu ini.
Antara dapatan tinjauan juga menunjukkan pengundi bandar cenderung menyokong PH (52%) manakala pengundi luar bandar cenderung menyokong BN (60%), manakala pengundi kali pertama cenderung menyokong BN (44%), diikuti oleh PH (30%), PN (15%).
Sebanyak 34% daripada responden menyatakan bahawa mereka akan mengundi mengikut parti/gabungan, manakala 23% akan mengundi mengikut calon, 37% pula akan mempertimbangkan kedua-dua parti dan calon.
Responden yang terlibat dalam tinjauan itu terdiri daripada 953 lelaki (54%) dan 812 perempuan (46%) terdiri daripada 1,041 adalah Melayu, Cina (475), India (246), lain-lain (3).
Seramai 318 adalah pengundi kali pertama berumur 18-22 tahun dan dari segi kawasan mengundi, 1,002 adalah dari kawasan bandar dan 763 adalah dari kawasan luar bandar.