17 suspek insiden pengeboman di Turkiye ditahan
18 NOV : Mahkamah Turkiye hari ini mengarahkan penahanan 17 suspek, termasuk seorang wanita Syria kerana didakwa terbabit dengan insiden pengeboman yang menyebabkan enam orang terkorban di tengah Istanbul, lapor media tempatan.
Kerajaan menuduh Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu Baratnya, atas serangan Ahad lalu.
Mangsa termasuk dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia sembilan dan 15 tahun.
PKK dan cawangannya di Syria, YPG bertindak menafikan pembabitan mereka dalam insiden berkenaan.
Setakat ini, tidak ada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.Polis Turki menahan ketua dalam kalangan suspek berkenaan, Alham Albashir.
Beliau adalah wanita berasal dari Syria yang dikatakan bekerja untuk militan Kurdish, di pinggir bandar Istanbul.
Albashir dilaporkan telah membuat pengakuan bahawa dia menanam bom di tempat kejadian ketika disoal siasat.
Agensi berita Anadolu melaporkan, Mahkamah Istanbul menahan reman 17 suspek dalam tahanan praperbicaraan atas tuduhan ‘menggugat perpaduan negara’, ‘membunuh dengan sengaja’ dan ‘cubaan membunuh dengan sengaja’.
Albashir berkata, dia menyertai PKK kerana pengaruh teman lelakinya dan terus bersama kumpulan itu walaupun selepas mereka memutuskan hubungan.
Ia adalah serangan terburuk dalam tempoh lima tahun selepas gelombang insiden pengeboman di seluruh negara dari 2015 hingga 2017 yang kebanyakannya dikaitkan dengan militan Kurdish dan Daesh.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu, berkata Ankara percaya arahan untuk serangan itu diberikan dari Kobane dan dikawal oleh tentera militan Kurdish di Syria, yang berpusat di utara Syria.