18 NOV : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak pengundi memberi undi kepada parti itu seterusnya membantu untuk menyelamatkan negara.
Berbaki 10 jam sebelum hari mengundi esok, beiau berkata akyat tidak perlu lagi bereksperimen dengan pihak yang tidak ada legasi rekod dalam pembinaan negara.
Pilihan raya kali ini menurut Ahmad Zahid adalah peluang untuk seluruh rakyat berganding bahu dan bersatu hati.
“Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) adalah wadah untuk BN mendapatkan kembali mandat rakyat.
“Mandat ini penting kerana mereka yang diberikan peluang membentuk kerajaan pada PRU14 lalu, sudah memburukkan lagi keadaan negara.
“Ramai rakyat amat merindui kegemilangan BN yang sudah mereka saksikan dulu. Kegemilangan pembangunan negara, kerancakan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena hari mengundi esok yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO Online dan BN COMMS, malam ini.
Katanya lagi, rekod perkhidmatan BN membuktikan pimpinannya sentiasa kekal setia, malah keberadaan pemimpin BN di tengah masyarakat sentiasa ketika susah dan senang, membuktikan parti itu amat dekat dengan denyut nadi rakyat.
“Kebanyakan pemimpin BN bukanlah elitis. Sebaliknya BN dengan pelbagai latar belakang kepemimpinan, lebih mesra dan mudah didampingi oleh rakyat.
“Kepemimpinan BN tidak hanya muncul lima tahun sekali, sebaliknya jerih payah rakyat tidak kira waktu dan musim, sentiasa mendapat sentuhan kepimpinan BN,” ujarnya.
Beliau menegaskan, selain pembangunan yang menjadi mercu kerancakan ekonomi di kota raya dan bandar besar, BN tidak pernah melupakan kesejahteraan dan kemakmuran luar bandar.
Sebagai contoh, katanya, penubuhan FELDA dan FELCRA serta pelbagai sokongan terhadap golongan petani dan nelayan, menjadi bukti kukuh bagaimana BN empati dengan keadaan rakyat dan pembangunan luar bandar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan PRU15 menjadi platform untuk BN menguatkan teras atau asasnya dalam memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.
“Dengan sokongan dan dukungan saudara-saudari semua, Insya Allah BN akan bangun dengan lebih kuat walaupun telah jatuh pada PRU14,” katanya.
Beliau turut mengulangi pendirian BN yang menjanjikan kestabilan buat negara, yang bersandarkan rekod parti itu dalam proses membuat keputusan dengan sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif.
“Keputusan kita adalah keputusan bersama bersandarkan kepada keutamaan, kebenaran dan konsisten. Inilah yang diperlukan oleh negara.
“Inilah juga pendekatan kami selama ini yang mampu menjamin kestabilan dapat dipelihara.
“Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk menarik semula keyakinan pelabur luar dan keyakinan rakyat negara.
“Yakinlah, amalan yang dipratikkan dalam BN, tiada seorang pemimpin pun lebih tinggi daripada parti dan rakyat.
“Dengan prinsip ini, BN mampu kekal teguh walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan politik,” katanya.
Beliau juga menegaskan BN adalah parti yang meraikan pelbagai pandangan, namun tetap berasaskan kepada keputusan kolektif dan keperluan rakyat mesti didahulukan walaupun terdapat perbezaan pendapat.
“Kami mempunyai barisan kepemimpinan dan berpengalaman dalam mengendalikan negara dalam keadaan senang dan susah.
“Pengalaman 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menunjukan seorang pemimpin yang tersohor sahaja tidak mencukupi kalau ia tidak didukung barisan Kabinet yang berpengalaman dan parti yang bertunjangkan akar umbi,” katanya.