19 NOV: Proses pengundian di 11 pusat pengundian di Parlimen Baram, di Kuching, digantung hari ini ekoran cuaca buruk.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berikutan cuaca buruk menyebabkan petugas tidak dapat tiba ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.
Sehubungan itu, tarikh baharu pengundian bagi Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) akan dimaklumkan kelak selepas keadaan selamat untuk petugas dan pengundi tiba ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.
Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) yang terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah (saluran 1 dan 2), SK Long Luteng (Saluran 2), Rumah Panjang TK Matthew Belulok Lalo Kampung Lepo Gah (Saluran 1 dan 2), SK Long Sait (Saluran 2) dan SK Long Tungan (Saluran 1 dan 2).
Turut digantung, SK Long Moh (Saluran 1 dan 2), SK Long Mekabar (Saluran 1), SK Long Jekitan (Saluran 1 dan 2), SK Long Lamei (Saluran 2), SK Lio Mato (Saluran 1 dan 2) serta SK Long Banga (Saluran 1 dan 2).