19 NOV : Gerakan besar-besaran melalui ‘Get Out The Voters’ dilakukan BN sebagai usaha untuk menyeru kepada rakyat di negara ini agar keluar mengundi bersempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, gerakan besar-besaran untuk membawa keluar pengundi mula dilaksanakan seawal pukul 7 pagi tadi dan berakhir pada pukul 6.30 petang ini.
“Kita menghantar kenderaan untuk pengundi-pengundi yang memerlukan kenderaan untuk membuang undi di kawasan masing-masing,” kata Zahid kepada media.
Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa penghargaan terhadap semua jentera-jentera BN yang bekerja keras pada saat-saat terakhir hari mengundi.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua jentera parti di Semenanjung, di Sabah yang telah menjalankan tugas pada saat-saat akhir,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau meletakkan harapan agar BN berjaya mendapatkan jumlah yang mencukupi sekaligus dapat membentuk kerajaan seterusnya menjadikan negara kembali stabil dan makmur.
Zahid juga merupakan calon BN Parlimen Bagan Datuk yang bertanding dalam PRU15 kali ini.