19 NOV : Calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong pagi tadi.
Beliau dan isteri tiba di pusat pengundian kira-kira pukul 9.20 pagi dan mengundi kira-kira sejam kemudian setelah beratur bersama-sama pengundi lain.
Beliau ketika ditemui pemberita melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan baharu malam ini.
“Saya harap sebab sasaran kita boleh lepasi 112, kita boleh bentuk kerajaan. Kalau sudah dapat majoriti mudah kita akan bentuk kerajaan.
“Jika sudah boleh dapat 112 kerusi untuk bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kita akan bentuk kerajaan malam ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.
Ismail Sabri berkata, sama ada kerajaan BN dapat dibentuk bersendirian atau perlu gabungan parti lain, selain GPS dan GRS hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti.
“Walaupun mampu membentuk kerajaan sendiri, kerjasama akan diteruskan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). BN tidak akan meninggalkan parti GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan,” katanya.