19 NOV : Tindakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengundi sambil memakai vest berhias logo parti itu di dalam pusat mengundi, mengundang komen dan kritikan daripada netizen.
Netizen menyuarakan sikap pilih kasih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas petugas SPR dilihat berdiri dan tersenyum di sebelah Abdul Hadi, selepas gambar penyandang kerusi Parlimen Marang itu membuang undi dengan memakai jaket hijau berlogo PAS di bahagian dada kiri, di SK Rusila di Marang, Terengganu pagi tadi tular di media sosial.
SPR melarang pengundi, calon dan pekerja parti daripada memakai apa-apa sahaja yang mengandungi nama, logo, simbol atau gambar parti, atau gambar calon, di dalam pusat mengundi. Ini termasuk baju, topi, dan juga pelitup muka.
Mereka yang didapati melanggar peraturan boleh dihentikan daripada memasuki pusat mengundi.