19 NOV : Seorang warga emas menemui ajal di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, Paloh hari ini.
Tuminah Ambiah, 85 meninggal dunia sebelum sempat menunaikan tanggungjawab dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.21 pagi tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor menerusi satu kenyataan berkata, mangsa ketika itu sedang menunggu giliran di saluran satu.
“Kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian mengesahkan kematian warga emas itu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pengundi, Sh Juhara, 57, turut dilaporkan meninggal dunia di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail pada jam 9.30 pagi tadi.
Namun mangsa dikatakan sempat mengundi bagi parlimen Pulai sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas mengundi apabila mangsa mengalami sesak nafas. Hasil pemerhatian petugas saluran, pengundi hadir ke saluran satu dalam keadaan tidak sihat, tapi ingin meneruskan pengundian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat turut mengesahkan kejadian terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan selain pemeriksaan terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan.