19 NOV : Rata-rata pengundi muda khususnya yang berumur bawah 21 tahun melahirkan rasa teruja apabila berkesempatan membuang undi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Berdasarkan tinjauan pagi ini, pengundi muda dilihat keluar awal bagi menunaikan kewajipan mereka, malah ada menyifatkan keterujaan mengundi seakan perasaan ‘bernikah’ memandangkan perlu mencelup dakwat di jari.
Bercerita tentang pengalaman itu, seorang pengundi muda, Melissa Sofia Shahran, 18, berkata, dia berasa teruja untuk mengundi pada hari ini kerana pertama kali merasai pengalaman memilih wakil rakyat sempena PRU.
“Saya keluar awal hari ini sebab teruja mahu mengundi wakil rakyat baharu. Bila buang undi, rasa macam pakai inai sebab kena celup jari, seronok perasaan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Parlimen Titiwangsa di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri di sini tadi.
Dalam pada itu, sekumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) dilihat turut hadir menunaikan kewajipan mereka hari ini.
Salah seorang daripada mereka, Mohd Faizal Abu Osman, 39 tahun berkata, meskipun mengundi kali kedua, tetapi beliau masih berasa teruja bagi melihat suasana pilihan raya lima tahun sekali.
“Saya sangat teruja sebab nak tengok kali ini, keadaannya agak berbeza, ada pengundi muda, tetapi untuk kami, proses berjalan lancar, pegawai dan semua petugas memudahkan urusan kami untuk memangkah,” katanya.
Di Pasir Puteh, seorang pengundi muda, Mohamad Shahrul Rizuan Rokiman, 19, yang patah paha dan kaki kanan akibat kemalangan tetap menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi PRU15 hari ini.
Beliau tiba seawal jam 9 pagi dan mengundi jam 9.10 pagi tadi di saluran empat Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, dibantu bapa saudara, Muhamad Abdul Ghani, 44, yang sanggup menolak kerusi rodanya sejauh kira-kira satu kilometer dari tempat letak kereta ke pusat mengundi.
Walaupun dalam keadaan sakit dan pergerakan terbatas, dia tidak mahu melepaskan peluang mengundi buat pertama kali dalam hidupnya.
“Saya tetap nak tunai tanggungjawab mengundi calon yang akan memimpin negara kita. Apatah lagi ini kali pertama saya jadi pengundi, jadi rasa lebih bersemangat nak datang,” katanya.