20 NOV: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun meminta pemimpin parti yang mempunyai jumlah kerusi “substantial” dalam pilihan raya umum ke-15 menyerahkan nama parti dan Ahli Parlimen bebas yang bersetuju menyertai mereka menubuhkan kerajaan persekutuan.
Beliau turut meminta pemimpin parti menamakan seorang Ahli Parlimen dalam gabungan mereka untuk menjadi calon perdana menteri ke-10 melalui akuan surat berkanun (SD).
“Dokumen tersebut perlu diserahkan ke Istana Negara selewat-lewatnya Isnin (21 Nov) sebelum 2 petang,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Istana Negara meminta pemimpin parti membentuk gabungan dengan parti lain yang mempunyai kerusi paling banyak untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Kenyataan itu menyebut pemimpin parti perlu menyerahkan nama tersebut sebelum jam 2 petang kepada Speaker Dewan Rakyat.
Keputusan pilihan raya umum ke-15 menyaksikan tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah.
Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi Parlimen, disusuli Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan dua calon bebas.