21 NOV : Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg menutup mulut enggan untuk memberi sebarang maklum balas berhubung kemelut pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sedang berlaku sekarang.
Premier Sarawak itu meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang ini tanpa mahu menjawab soalan wartawan meskipun diekori hingga ke kenderaannya bagi mendapatkan komen beliau berhubung perkara itu.
Semalam, Abang Johari pada sidang media menyatakan GPS bersetuju menyertai kerajaan gabungan bersama Perikatan Nasional dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, semua Ahli Parlimen GPS akan membuat analisis dan berbincang dalam kalangan mereka berhubung calon Perdana Menteri dan kemudian Abang Johari akan membuat keputusan berlandaskan analisis itu.
Katanya, keadaan sekarang agak kelam-kabut dan orang ramai maklum tiada siapa boleh mendakwa mempunyai angka mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Sekarang kamu tengok di dalam media sosial, semua kelam-kabut. Kita tidak tahu sebenarnya siapa yang mempunyai angka mencukupi atau siapa sokong siapa.
“Misalnya jika PN tidak mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), mereka tetap tidak akan mampu membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan GPS,” ujarnya.
Bagaimanapun, sumber dalaman Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pula berkata, semua 22 Ahli GPS yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) semalam.
Beliau berkata, SD itu bagi menyatakan sokongan mereka terhadap calon Perdana Menteri Ke-10 yang selari dengan nama yang diumumkan oleh Abang Johari, semalam.
Menurut sumber terbabit, hanya seorang lagi Ahli Parlimen GPS belum menandatanginya iaitu Baram yang keputusan rasmi PRU15 bagi kawasan itu hanya akan diketahui malam ini.
“Apa yang kami tahu, SD itu adalah bagi menyatakan sokongan terhadap calon Perdana Menteri dan semua 22 Ahli Parlimen GPS sepakat menyokong calon yang disebut oleh Pengerusi (Abang Johari).
“Setahu saya, tidak timbul isu ada Ahli Parlimen GPS yang membuat ‘U-Turn’ seperti yang didakwa di media sosial,” katanya.