21 NOV : Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa Perikatan Nasional sudah mempunyai lebih dari sokongan ahli Parlimen yang diperlukan bagi membentuk kerajaan Pusat.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, pihaknya hanya menunggu untuk dijemput atau diundang ke Istana Negara pada bila-bila masa sahaja
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengeluarkan kenyataan pihaknya sudah mengemukakan surat akuan berkanun (SD) daripada ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.
Hamzah berkata, jumlah SD yang dihantar adalah melebihi 112 iaitu jumlah kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.