22 NOV : Istana Negara hari ini menerusi satu kenyataan memaklumkan, bahawa lanjutan daripada sesi menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada jam 4.30 petang ini, akan diteruskan dengan proses sesi menghadap 30 ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional (BN).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi menghadap secara individu ini dijadualkan berlangsung pada jam 10.30 pagi esok, (23 November 2022) di lstana Negara.
”Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Baginda juga turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.
“Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya lagi.