22 NOV : Istana Negara hari ini memaklumkan telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-partidan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak susulan daripada keputusan PRU15.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Istana Negara sepertimana yang telah diminta dengan kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat,Tan SriAzhar Azizan Harun pada 20 November lalu.
Katanya lagi, lanjutan daripada penerimaan pencalonan nama Perdana Menteri tersebut, proses pengesahan calon Perdana Menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AImarhum Sultan Haj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
“Proses ini adalah bertujuan supaya Seri Paduka Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Kendatipun begitu, setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara yang tersebut di atas.
“Memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah, maka Baginda menitah perkenan untuk ketua- ketua gabungan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghadap pada jam 4.30 petang ini di lstana Negara,”katanya dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke- 10 selesai.
“Baginda juga mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” ujarnya.