22 NOV : Mini Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023 akan dibentangkan oleh Kerajaan caretaker di Parlimen bagi peruntukan gaji penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembentangan itu dibuat olehnya sekiranya kerajaan baharu belum dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ini disebabkan gaji kepada penjawat awam perlu dibayar pada Januari. Tidak ada perbahasan tapi bentang dan lulus. Bajet pembangunan tidak ada,” jelasnya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya lagi, beliau masih menjadi Perdana Menteri caretaker selagi kerajaan baharu belum ditubuhkan.
Ismail Sabri meminta rakyat agar tidak keliru dengan status semasa pentadbiran negara atau merasa bimbang kerana kerajaan tidak berfungsi pada masa sekarang.
“Kalau tidak ada parti yang boleh menubuhkan kerajaan kerana tidak cukup majoriti mudah 112 (kerusi), jadi kerajaan yang ada masih kekal sebagai caretaker.
“Rakyat jangan keliru seolah-olah tidak ada kerajaan. Kerajaan masih kekal, kami sebagai caretaker,” jelasnya.
Pun begitu, ahli Parlimen yang kalah pada pilihan raya baru-baru ini secara automatik tidak lagi berada dalam Kabinet kerajaan sementara, jelas beliau lagi.
“Yang kalah tidak boleh ada jawatan menteri seperti sebelum ini kerana bukan Ahli Parlimen tetapi kerajaan masih boleh berfungsi sebagai biasa,” katanya.
Ismail Sabri yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Perlimen Bera memenanginya dalam PRU15 baru-baru ini.