22 NOV : Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengesahkan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan bersidanh sekali lagi melibatkan pimpinan utama parti itu Menara Dato’ Onn, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam ini.
Beliau mengesahkan perkara itu ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya tidak pasti setakat ini, saya baru terima panggilan mengenai mesyuarat ini,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perincian mesyuarat tersebut.
Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut mengesahkan mengenai mesyuarat tersebut namun mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut.
Sumber memberitahu, mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu akan disusuli dengan pertemuan bersama kesemua 30 ahli Parlimen BN.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat kira-kira pukul 11 pagi Selasa membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan
Menurutnya, setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang.
Selain itu, kesemua 30 Ahli Parlimen daripada BN juga akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara individu pada jam 10.30 esok (Rabu).
Menurut kenyataan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, proses ini bertujuan agar Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
Ia selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.