22 NOV : Buat pertama kali sejak merdeka, Perlis mendapat seorang Menteri Besar bukan daripada parti Barisan Nasional (BN) apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli daripada parti PAS mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu hari ini.
Mohd Shukri, 61, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada 4 petang.
Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Mohd Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Pelantikan beliau sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PN yang telah menyerahkan watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.
Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis merupakan ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.
PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15.