24 NOV : Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perkenaan Yang di Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ahmad Shah dilantik Perdana Menteri ke 10.
Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diperkenan oleh Baginda selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.
Kenyataan Istana Negara memaklumkan, setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Dato Seri Anwar bin lbrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Pelantikan ini adalah selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan
Proses seterusnya akan diikuti istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat mengangkat sumpah jawatan serta sumpah simpan rahsia sebagai Perdana Menteri jam 5 petang di Istana Negara, hari ini.
Kemelut pemilihan Pedana Menteri baharu bermula sejak Ahad selepas tidak ada parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) memperolehi cukup majoriti untuk membentuk kerajaan dan menentukan calon Perdana Menteri ke 10.
Agong kemudian menitahkan semua parti mewujudkan kerajaan perpaduan bagi meneruskan pentadbiran negara dengan melibatkan perbincangan semua parti.