Anwar sedia berdepan dengan undi percaya di Parlimen
24 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk berdepan dengan undi percaya di Parlimen yang dijangkakan bersidang pada 19 Disember ini bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri
Kata Anwar dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri hari ini, pada sidang parlimen itu, usul pertama selain daripada mengangkat sumpah, adalah usul dari kerajaan iaitu undi percaya di Parlimen.
“Ini supaya tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan kita,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Sungai Long Club House, Kajang.
Usul undi percaya itu dicadangkan oleh Anwar berikutan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media hari ini mempertikaikan keabsahan sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri.
Menurut Anwar ketika ini PH merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat dan ia mendapat sokongan bukan saja daripada BN malah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kata ahli parlimen Tambun itu Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg sendiri menyatakan sokongan GPS kepada kerajaan perpaduan sekarang.