24 NOV : Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke 10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara petang ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diriingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Upacara angkat sumpah itu diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.
Antara yang turut berada di dalam Balai Singgahsana Kecil menyaksikan istiadat itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Selain itu, turut kelihatan ialah Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain itu, ketua-ketua parti politik negara seperti Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook serta Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi .
Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan susulan titah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan ini dimaklumkan menerusi kenyataan Istana Negara sejurus tamat sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada pagi Khamis.
Sebuah kerajaan perpaduan dijangka bakal dibentuk, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tiada mana-mana parti politik memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk majoriti dalam Dewan Rakyat.
PRU15 menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.