24 NOV : Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertai kerajaan perpaduan yang akan dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut titah Yang di-Pertuan Agong.
Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, GPS mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Baginda menasihati untuk membentuk kerajaan perpaduan demi atasi kemelut politik. GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia.
“Kita mesti ingat, kita (mengamalkan) Raja Berperlembagaan, Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara. Meskipun kita tak ada raja di Sarawak ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Kerajaan Sabah memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, demi manfaat dan kebaikan bersama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, berkata kerjasama erat akan merealisasikan pembangunan Sabah dan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963.
Hajiji juga berharap pengalaman Anwar akan membawa kebangkitan ekonomi yang sangat diperlukan untuk rakyat dan pembangunan pada masa depan.
Beliau juga berharap pemerkasaan Sabah dan Sarawak yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan akan dilaksanakan sebaiknya.
Anwar pernah menjadi Menteri Kewangan (1991-1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993-1998). Beliau juga pengerusi Pakatan Harapan.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan di hadapan Agong, petang tadi.