24 NOV : Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg menerima permohonan maaf yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook awal hari ini.
“Kami menerima permohonan maaf dengan hati terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada sidang akhbar, beliau menyatakan bahawa permohonan maaf itu membuktikan bahawa mereka betul selama ini.
Tambahnya, GPS akan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, yang baru mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 negara di Istana Negara.
Awal hari ini, Loke berkata beliau mengadakan “perbincangan mesra” dengan Abang Johari dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian.
Loke juga berkata beliau telah memohon maaf kepada pemimpin GPS berhubung kenyataan lepas DAP yang menyinggung perasaan kerajaan Sarawak dan rakyatnya.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng juga telah memohon maaf kepada Abang Johari dan kerajaan GPS atas kenyataan lampau yang mungkin menyinggung perasaan mereka.