25 NOV : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke 10 hari ini.
“Saya merafakkan setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Setinggi tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia dan keluarga penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan yang telah bersama-sama beliau selama ini.
“Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, dalam mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi.
“Saya mendoakan Kerajaan baharu ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara,” ujarnya.
Untuk rekod, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9 pada 20 Ogos 2021 selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh susulan penarikan sokongan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional.
Sepanjang pentadbiran beliau, Ismail Sabri berjaya mengekang penularan COVID-19 sehingga berjaya membuka semula pintu ekonomi negara dan meningkatkan kembali ekonomi yang merudum akibat pandemik yang melanda.
Selain itu, pelbagai program bantuan di bawah jenama Keluarga Malaysia telah diwujudkan bagi memberi bantuan kepada rakyat di negara ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Beliau juga merupakan Perdana Menteri yang pertama berjaya mengadakan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan parti-parti pembangkang untuk bekerjasama dalam beberapa perkara demi kepentingan negara.
Selain itu, di bawah pentadbiran beliau, RUU anti lompat parti berjaya dilaksanakan apabila RUU tersebut diluluskan di Parlimen.