24 NOV : Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“MKT memperkukuhkan sokongan terhadap YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, menurut Ahmad Maslan, mesyuarat MKT juga telah mengambil ketetapan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk tahun 2022 ini akan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember 2022.