24 NOV : Puluhan pengamal media mula berkumpul di perkarangan pintu utama Istana Negara, pagi ini.
Tumpuan terarah di pintu satu Istana Negara, apabila perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan hari ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan.
Setakat jam 9.40 pagi tadi, kenderaan yang membawa kerabat Diraja Johor memasuki Pintu Utama Istana Negara dengan diiringi polis pengiring memasuki pintu utama.
Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam.
Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Ia selepas Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda pada pukul 10.30 pagi semalam, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.
Kelmarin, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.