25 NOV : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa penghargaan terhadap Ketua Bahagian UMNO yang berhimpun menyatakan sokongan kepada beliau.
Katanya, beliau berterima kasih kepada semua sahabat seperjuangan yang hadir beri sokongan beramai-ramai semalam.
“Solidariti sahabat-sahabat Ketua Bahagian UMNO seluruh negara memberi sokongan padu, saya amat hargainya.
“Terutama di saat parti sedang diuji dengan isu kerjasama dengan PH dan serangan bertalu-talu dari luar dan dalam yang boleh menggugat keutuhan parti UMNO dan Barisan Nasional,” kata Zahid menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Seramai 130 Ketua Bahagian UMNO semalam mengadakan solidariti sebagai tanda sokongan agar Zahid kekal sebagai Presiden parti tersebut.
Solidariti tersebut diadakan susulan terdapat beberapa pihak yang mendesak Zahid untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden sekaligus menggalas tanggungjawab diatas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Namun begitu, desakan itu mendapat tentangan ramai serta tidak bersetuju sekiranya Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN untuk melepaskan jawatannya.
“Terima kasih sekali lagi dan Allah sahaja yang mampu membalas semangat kesetiakawanan dan keberanian sahabat semua,” tambah Zahid lagi.