25 NOV : Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dibuat demi kebaikan negeri Sabah, demikian tegas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pihaknya menyampaikan hasrat itu berhubungan sokongan itu kepada Anwar, malam tadi.
“Demi kebaikan Sabah, kestabilan politik dan sebagainya maka kita memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menegaskan, pihaknya tidak mahu rancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negeri terganggu disebabkan politik.
Sebaliknya, beliau mahu agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan sebagai keutamaan untuk rakyat Sabah.
“Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah negeri, jadi kita tidak mahu terlalu berpolitik dan bermacam gangguan kerana yang penting ialah kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata, jalinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak menjejaskan hubungan GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.
“Saya rasa tiada masalah. Semua pemimpin parti berfikiran matang. Mereka juga memikirkan negeri ini dan rakyatnya. Apa yang penting kita memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, membangunkan negeri Sabah serta memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.