25 NOV : Pas akan membincangkan bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) berhubung tawaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, parti itu turut akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat yang telah memberikan undi memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
“Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
“Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata.
“Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Anwar semalam menyatakan keterbukaan kepada PN agar gabungan itu turut sama menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Kata Takiyuddin lagi, PAS menzahirkan kesyukuran kerana kemelut kepimpinan negara pasca-PRU15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.
“Pas menerima dengan reda dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri,” ujarnya.