25 NOV : Setiausaha politik bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad menafikan sekeras-kerasnya rakaman audio yang tular adalah suaranya.
Syed Fahmi menerusi satu kenyataan berkata, beliau terkejut dan kecewa dengan penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara beliau dengan bekas Ahli Parlimen Jempol yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.
“Penularan audio palsu itu merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik.
“Tindakan itu juga membuktikan usaha berterusan untuk memusnahkan reputasi saya sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Kesembilan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya lagi, perkara itu merupakan konspirasi jahat dan terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membuktikan bahawa rakaman ini adalah satu fitnah jahat.
“Saya berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan ini,” ujarnya.