26 NOV : Sabah berharap akan ada keputusan muktamad berhubung tuntutan mengembalikan hak negeri di bawah pentabdbiran kerajaan baharu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara yang utama untuk diberikan perhatian kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ialah tuntutan Sabah berkaitan hak kewangan.
“Saya kenal sangat Perdana Menteri yang baharu ini dan beliau juga kenal saya, termasuk tahu mengenai tuntutan kita.
“Saya berharap dengan kerjasama negeri dan Persekutuan ketika ini, kita akan dapat melihat keputusan yang baik berkaitan tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, antara hak kewangan yang dituntut Sabah ialah pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini dan 10 peratus cukai eksport petroleum.
Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ahli Parlimen Keningau itu berkata, walaupun Sabah ketika ini menerima RM120 juta setahun daripada cukai eksport dan eksais, ia berhak menerima 10 peratus daripada cukai eksport produk petroleum yang dianggarkan mencecah RM10 bilion setahun.
“Oleh itu, Sabah sepatutnya menerima kira-kira RM1 bilion setahun (cukai produk petroleum),” katanya.
Tuntutan hak kewangan, khususnya pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah antara perkara dituntut dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Kegagalan kerajaan sebelum ini membuat keputusan berhubung rundingan itu menyebabkan harapan kini disandarkan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Jeffrey sebelum ini menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan kerajaan perpaduan yang diketuainya.
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang diketuai Jeffery antara parti komponen GRS diketuai Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang mengukuhkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar hingga memperolehi dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat.