28 NOV : Usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tetap akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan 19 Disember ini.
Anwar menegaskan langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ya benar Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal akan menggunakan isu berdasarkan penafsiran Perlembagaan Persekutuan sebab majoriti jelas.
“Tetapi saya juga berbincang tadi, kita punya pandangan bukan sahaja keperluan dalam Perlembagaan tapi saya fikir keabsahan dari segi persepsi politik juga penting.
“Jadi kita akan teruskan dengan undi percaya pada 19 Disember ini,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.
Sebelum ini, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, tiada keperluan bagi mengemukakan usul undi percaya terhadap Anwar pada sidang Dewan Rakyat, 19 Disember ini bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP menegaskan ini kerana sudah jelas ketika ini, Anwar sudah mempunyai sokongan majoriti melebihi 140 Ahli Parlimen.
Ramkarpal berkata, Pakatan Harapan (PH) kini diyakini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).