29 NOV : Dakwaan sesetengah pihak bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022 adalah tidak benar, demikian tegas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya semalam, Ismail Sabri menjelaskan kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.
“Saya tegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar. “Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telah pun diluluskan Parlimen sebulat suara,” jelasnya.
Katanya, nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion yang mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).
Beliau menjelaskan perkara itu bagi menjawab dakwaan seorang pengguna Twitter kononnya perbelanjaan berjumlah RM620 bilion bermula tahun 2020 hingga 2022 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkod.