PLUS tutup sementara laluan Ipoh Utara, Selatan esok
29 NOV : Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara laluan Ipoh Utara dan Ipoh Selatan (Arah Selatan) di Lebuh raya Utara-Selatan untuk latihan simulasi kecemasan mulai jam 10 pagi hingga 2.30 petang esok.
Ketua Komunikasi Korporat PLUS, Syed Mohammed Idid berkata, sepanjang tempoh itu, pengguna daripada arah Utara, Kuala Kangsar menghala ke Selatan, Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Utara.
Justeru, beliau menasihatkan untuk mengguna Jalan Persekutuan (FT240) iaitu jalan susur Jelapang Ampang, sepanjang latihan simulasi itu.
Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Selatan dengan memasuki semula Lebuh raya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.
Latihan simulasi itu diadakan untuk menguji tahap kecekapan, masa tindak balas dan tindakan diambil oleh PLUS, pasukan penyelamat serta agensi yang terbabit dalam menghadapi situasi kecemasan dan memeriksa aliran proses prosedur keselamatan di lebuh raya.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pula berkata keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan mereka dan latihan kecemasan itu perlu dibuat bagi mengukur tahap persediaan kakitangan PLUS dan agensi yang berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Latihan kecemasan ini akan membabitkan Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Angkatan Pertahanan Awam, MERS 999, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, MIROS, Edgenta Infrastructure Services (EIS) dan sebagainya,” katanya.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika latihan dijalankan.
Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.