1 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak memberikan sebarang cenderahati kepada beliau.
Kata Anwar menerusi Twitter dan Facebook miliknya, beliau turut meminta budaya itu dihentikan dengan menegaskan bahawa budaya memberikan cenderahati itu tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta membebankan rakyat.
Sebelum ini, Anwar turut menolak untuk menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang disediakan untuk kegunaannya oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Kenderaan itu katanya dibeli dan diperoleh JPM sebelum beliau memasuki Pejabat Perdana Menteri, dengan langkah itu diambil kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu selepas Yang Di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan dan menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk.