1 DIS : Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pahang dijadual berlangsung di Istana Abu Bakar, Pekan, pada jam 2.30 petang esok.
Setakat ini tiada kenyataan berhubung pembahagian 10 EXCO mewakili BN dan PH dikeluarkan setakat ini.
Bagaimanapun difahamkan, lapan ADUN daripada BN dan dua ADUN PH dijangka dilantik sebagai EXCO Pahang.
Isnin lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober lalu.
Pelantikan Wan Rosdy, 64, disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.
Dengan pelantikan Wan Rosdy sebagai Menteri Besar, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung membentuk kerajaan negeri Pahang selepas mendapat majoriti 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang dan PH memperoleh lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 17 kerusi.
Berikutan itu, tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri mendorong gabungan BN dan PH.
Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan parti perlu mempunyai 22 kerusi untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
Pengundian DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada hari pengundian iaitu 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung.