PM tidak campur lantikan JAC bakal tingkat persepsi positif pelabur, rakyat
1 DIS : Syor Majlis Raja-Raja (MRR) agar pelantikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat perdana menteri dilihat mampu meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan berkata perkara itu membuktikan undang-undang negara dilaksanakan tanpa berat sebelah.
“Saranan MRR itu sepatutnya diambil berat oleh kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sistem keadilan itu, bukan saja membabitkan persepsi rakyat tetapi juga membabitkan orang luar.
“Itu paling penting di mana orang luar terutamanya pelabur-pelabur mahu melihat undang-undang itu diutamakan dan tiada berat sebelah,” katanya kepada BBC Portal.
Semalam, MRR mencadangkan lantikan lima daripada sembilan ahli JAC itu tidak lagi dibuat oleh perdana menteri bagi memastikan badan itu seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.
Setakat ini empat dari sembilan anggota JAC adalah terdiri daripada hakim-hakim kanan sementara lima lagi anggota adalah lantikan perdana menteri.
Dalam pada itu Azmi turut bersetuju kaedah itu diaplikasikan terhadap agensi dan badan-badan berkaitan kerajaan yang lain.
“Ya, betul (perkara sama dilakukan untuk bidang lain), saya pasti perdana menteri sekarang mempunyai pengaruh dan mandat untuk melantik terutama sekali ketua-ketua dalam GLC.
“Lantikan politik itu perlu dilakukan tapi janganlah terlampau banyak. Biarlah ia bersesuaian dengan kepakaran. Seperti kata perdana menteri, ‘lantikan Kabinet itu bukan ganjaran politik’ jadi sama juga dengan lantikan dalam GLC,…bukan kerana ganjaran politik tapi kerana kepakaran masing-masing,” katanya.
Menurutnya persepsi rakyat yang salah terhadap badan kehakiman berlaku susulan ada yang menggunakan jalan perundangan untuk membunuh karier politik seteru masing-masing.
“Ya, terdapat persepsi bahawa kerajaan menggunakan lantikan hakim untuk melakukan ‘political prosecution’, sabitan-sabitan untuk membunuh karier-karier politik seteru.
“Jadi apabila lantikan hakim dilakukan oleh golongan yang neutral, dari segi politiknya ia boleh mengurangkan persepsi salah terhadap hakim-hakim yang dilantik dan yang paling penting keputusan-keputusan yang bakal dibuat itu,” katanya.
Beliau tidak menolak keperluan lantikan politik namun tegasnya ia perlu dilakukan secara berpada-pada mengikut kepakaran.- Oleh NUR EISYA