1 DIS : Penanda aras utama kegiatan sektor perkilangan China dilaporkan jatuh lagi pada bulan lalu akibat kesan daripada penularan wabak COVID-19 di mana indeks Pengurus Pembelian (PMI) turun kepada 48 daripada 49.2 pada Oktober lalu.
Penurunan itu didorong oleh sekatan ketat COVID-19 dan permintaan global yang lemah, sekali gus memberi kesan kepada China selaku kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia.
Kebelakangan ini, China berdepan dengan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap dasar ‘Sifar COVID-19’ dilaksanakan Presiden Xi Jinping, yang menyaksikan beberapa bandar utama dikenakan perintah berkurung ketat.
Ukuran PMI bukan pembuatan China dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan jatuh kepada 46.7 pada November berbanding 48.7 pada bulan sebelumnya, sekali gus mencatatkan bacaan terendah dalam tempoh tujuh bulan.
Sebarang angka di bawah 50 menunjukkan penguncupan berbanding bulan sebelumnya dan awal bulan ini, kerajaan China memperkenalkan beberapa langkah untuk merangsang ekonomi yang perlahan.
Dalam pada itu, Bank Pusat China menukar catuan rizabnya untuk bank yang memberikan institusi pinjaman lebih banyak wang tunai untuk melanjutkan pinjaman, dilihat sebagai langkah positif untuk membantu sektor hartanah yang turut teruk terjejas.
Ini selepas China menyaksikan peningkatan kes COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan, dengan lebih 37,000 kes dilaporkan pada Selasa lalu iaitu melebihi kemuncak sebelumnya pada April.
Ribuan penduduk di China turun ke jalan menuntut penamatan sekatan ketat sambil menggesa Xi berundur – sesuatu yang amat jarang berlaku di negara itu.
Selain itu, penduduk China di luar negara termasuk di Jepun, Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam turut mengadakan protes bagi menyokong keluarga dan rakan senegara yang tertekan di China.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) Mi Feng memberitahu pemberita bahawa sekatan pergerakan harus ‘dikenakan dan dilonggarkan dengan cepat’ manakala ‘langkah kawalan berlebihan harus diperbetulkan’.