2 DIS : Ahli Parlimen Petra Jaya dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
Beliau yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata, jawatan ini bukan untuk dibanggakan tetapi ia adalah amanah rakyat dan negara yang harus dipikul sebaik mungkin.
Pelantikan beliau itu menurut Fadillah, adalah pengiktirafan kepada GPS dan blok Borneo iaitu Sarawak dan Sabah.
“la satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.
“InsyaAllah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kita memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadillah turut menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, di atas kebijaksanaan dan nasihat Baginda, yang telah membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menyelesalikan kemelut politik Negara.
“Tahniah Datuk Seri Anwar ibrahim di atas perlantikan sebagal Perdana Menteri ke-10 dan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi Negara.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta seluruh kepimpinan parti, Ahli-Ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi,” ujarnya.