2 DIS : Senarai baharu ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat petang ini.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika berucap pada program Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Meru Raya, di Ipoh sebentar tadi.
Media difahamkan, Anwar akan mengumumkan barisan Kabinetnya pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya petang ini.
Pengumuman itu yang ditunggu-tunggu rakyat selepas Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu, juga akan disiar secara langsung di televisyen.
Beliau mempunyai tempoh yang terhad untuk membentuk kerajaannya, susulan Parlimen akan bersidang pada 19 dan 20 Disember depan.
Sidang Parlimen itu akan mengemukakan beberapa usul penting termasuk usul memilih Speaker Dewan Rakyat yang baharu serta usul undi percaya kepada Perdana Menteri.
Usul seterusnya adalah Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023, khususnya membabitkan peruntukan belanja mengurus kerajaan bagi tahun depan.
Pagi tadi, Anwar selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, dipercayai untuk mempersembahkan senarai ahli Jemaah Menteri untuk diperkenankan Seri Paduka.
Ahli Jemaah Menteri baharu dijangka mengangkat sumpah dalam tempoh terdekat berikutan Yang di-Pertuan Agong dijangka ke luar negara pada Sabtu ini.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.