3 DIS : Kerajaan ‘caretaker’ Taliban mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Kedutaan Pakistan di Kabul, semalam, yang disifatkan sebagai tindakan keganasan, dan memberi jaminan akan memastikan keselamatan misi diplomatik itu.
“Kerajaan Islam Afghanistan mengutuk serangan ganas yang gagal terhadap Kedutaan Pakistan, dan tidak akan membenarkan mana-mana pelaku yang berniat jahat untuk menimbulkan ancaman ke atas keselamatan misi diplomatik di Kabul,” kata jurucakap pentadbiran Kementerian Luar, Abdul Qahar Balkhi, menerusi akaun Twitter beliau.
Lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang Kedutaan Pakistan di Kabul, semalam, menyebabkan seorang pengawal keselamatan mengalami kecederaan. Bagaimanapun, ketua pejabat kedutaan itu terselamat.
Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran, mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, Kedutaan Pakistan menjadi sasaran serangan itu, dan pasukan keselamatan tiba tepat pada masanya di lokasi kejadian serta menahan seorang suspek di sebuah rumah di Karta-e-Parwan.
Katanya, penyerang dipercayai melepaskan tembakan dari rumah itu, malah dua laras senapang turut ditemui ketika suspek ditahan.
Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, manakala pihak pentadbiran tidak menuding jari kepada mana-mana kumpulan tertentu, setakat ini.
Zadran berkata, siasatan telah dimulakan dan hasilnya akan diumumkan.
Serangan itu adalah yang kedua berlaku terhadap pejabat kedutaan asing di Kabul sejak empat bulan lalu.
Awal September lalu, serangan pengebom nekad di pintu masuk Kedutaan Russia, meragut enam nyawa termasuk dua kakitangan kedutaan.