3 DIS : Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Katanya, pelantikan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal menyaksikan kebangkitan semula UMNO dalam kancah politik negara selain melonjakkan semula parti di persada pentadbiran kerajaan.
“Selaku Pengerusi UMNO negeri, kami dan semua kepemimpinan parti di peringkat negeri, menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid. Ini akan dilihat sebagai satu permulaan bagi parti untuk kembali berada di persada pentadbiran kerajaan seperti sebelum ini.
“Saya yakin, beliau menerusi pengalamannya, mampu membantu Perdana Menteri untuk membangunkan negara, selain memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya kepada BH.
Mengenai pembentukan Kabinet yang diumumkan Anwar malam tadi, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN negeri, berkata ia kombinasi terbaik dalam sejarah negara sejak merdeka.
Katanya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), titik persamaan ditemui apabila UMNO memberikan kerjasama kepada sebuah parti yang selama ini menjadi saingan dan seteru sepanjang tempoh 20 tahun lalu.
“Gabungan kerjasama itu dilihat sebagai satu era politik baharu akan bermula di Malaysia bagi melestarikan kehidupan rakyat. Kedua-dua blok politik terbesar melupakan segala ketidaksefahaman yang sebelum ini menghantui parti serta menimbulkan banyak prasangka dalam ideologi politik masing-masing.
“Pertemuan gabungan menerusi Kerajaan Perpaduan ini diharapkan menjadi titik tolak politik baharu untuk Malaysia, khususnya UMNO, apatah lagi presiden parti turut dinamakan sebagai TPM,” katanya.